Anwar dakwa Ahli Parlimen ditekan, ditawar wang sokong Muhyiddin

Anwar dakwa Ahli Parlimen ditekan, ditawar wang sokong Muhyiddin

Dakwaan itu menyusul dua Ahli Parlimen PKR yang keluar parti untuk menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Anwar Ibrahim mendakwa selain wang ditawarkan kepada Ahli Parlimen, mereka turut menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa.
PETALING JAYA:
Sehari selepas Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa ahli partinya ditawarkan “berjuta-juta” untuk melompat parti, kini Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau turut mendengar kisah sama.

Bercakap kepada wartawan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Anwar berkata, selain tawaran jutaan ringgit, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang dipecat PKR semalam mungkin “ditekan” dengan cara lain untuk menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam pendedahan mengejutkan, katanya, beliau mendapat maklumat dua Ahli Parlimen itu ditawarkan “jutaan ringgit” dan dakwaan mendapat tekanan daripada pihak berkuasa, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika dihbungi mengenai dakwaan Anwar, Sng dan Choong enggan mengulas.

Anwar turut mendakwa gaya hidup “mewah” menteri diketahui ramai, tetapi tiada tindakan diambil terhadap mereka.

“Jadi kalau nak ambil tindakan, termasuk (terhadap) pembangkang, silakan. Tetapi, jangan guna ini sebagai satu tarik tali untuk menekan mereka supaya melompat ke parti lain.

Mengenai isu wakil rakyat Amanah menyertai PKR, Anwar berkata, ADUN itu memilih untuk menyertai partinya.

“Tetapi di peringkat awal, kita memang minta mereka berurusan dengan parti Amanah dahulu.

Anwar berkata, Amanah dan PKR kemudiannya menyelesaikan perkara itu.

“Saya fikir tak terjejas. Saya masih berhubung rapat dan baik. Saya sendiri pernah maklum kepada Presiden Amanah (Mohamad Sabu) tentang cadangan mereka,” katanya sambil menambah beliau turut menasihatkan ADUN itu merujuk Mohamad terlebih dahulu.

Ahad lalu, Amanah Bahagian Bukit Bintang menggesa kepimpinan parti mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan kedudukannya dalam Pakatan Harapan, selepas tiga ADUN di Johor keluar parti untuk menyertai PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.