‘Penyakit’ demokrasi Malaysia

‘Penyakit’ demokrasi Malaysia

Pakar mengulas berkenaan budaya lompat parti, parti tanpa prinsip, politik perpecahan dan rasuah.

Penganalisis berkata, Ahli Parlimen seharusnya dibenarkan melompat parti hanya pada akhir penggal.
PETALING JAYA:
Beberapa pengulas membangkitkan kebimbangan mengenai amalan demokrasi di Malaysia dengan berkata, mereka khuatir ahli politik semakin memilih kaedah “matlamat menghalalkan cara”

Ahli sosiologi Syed Farid Alatas daripada National University of Singapore memberitahu FMT bahawa ahli politik tidak lagi berasa bersalah “melompat” dari parti asal mereka ke parti yang memerintah.

Beliau berkata, budaya lompat parti perlu “dikecam” sebagai memusnahkan kepercayaan pengundi.

Minggu lalu, dua Ahli Parlimen , iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong(Tebrau), keluar daripada PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Syed Farid Alatas.

Farid berkata, pengundi mengharapkan seseorang Ahli Parlimen meneruskan kerjanya sebagai wakil parti yang diwakilinya dalam pilihan raya.

Kata beliau, ahli politik harus dibenarkan menukar parti hanya pada akhir penggal Parlimen.

Tawfik Ismail, yang mewakili kerusi Parlimen Sungai Benut untuk Umno selama satu penggal, berkata, kewujudan parti politik tanpa prinsip merupakan kelemahan besar dalam demokrasi Malaysia dan rakyat harus mempersoalkannya.

“Darurat yang sedang berlangsung untuk mengelak undi Parlimen adalah salah satu contoh terbaik,” katanya kepada FMT.

Tawfik Ismail.

Beliau juga bercakap mengenai keadaan yang dinamakanya “politik Melayu” dan mengecam kegagalan pengamalnya menghormati kebebasan rakyat mengekspresi kreativiti dan menjalani kehidupan sekular.

“Orang Melayu ditekan supaya mematuhi beberapa standard agama secara yang bertentangan dengan warisan sejarah dan budaya mereka yang kaya,” kata beliau.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj berkata, ahli politik semakin giat menggunakan bangsa dan agama untuk kelangsungan kerjaya mereka.

Beliau menamakannya sebagai “kecelaan utama” demokrasi Malaysia kerana ia cenderung memecahbelahkan rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu juga berkata, badan perundangan nampaknya adalah institusi demokrasi yang “paling rosak”.

Dr Jeyakumar Devaraj.

Ini dapat dilihat melalui cara kerajaan memaksakan rang undang-undang melepasi Dewan Rakyat, kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan jarang menerima kritikan berhubung undang-undang digubal dan akan “berusaha keras untuk meluluskan rang undang-undang untuk mengelak egonya tercalar”.

Selama bertahun-tahun sebagai Ahli Parlimen dari 2008 hingga 2018, kata beliau, hanya satu rang undang-undang persendirian yang diizinkan dan itu kerana “ia sesuai dengan rancangan permainan politik ketika itu”.

Beliau merujuk kepada cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Peguam Rafique Rashid Ali berkata, rasuah akan berleluasa dalam demokrasi yang rosak.

Beliau bercakap mengenai pelantikan Ahli Parlimen ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan dan mendakwa ini bertujuan mengekalkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Muhammad Rafique Rashid Ali.

“Jika itu bukan rasuah, apa?” tanya beliau.

Rafique juga mendakwa bahawa terdapat “ancaman yang tidak pernah putus terhadap kerajaan yang memerintah” kerana tidak diketahui sama ada perdana menteri memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Tanpa kestabilan politik, kata beliau, kerajaan mungkin tidak dapat berfungsi dengan berkesan kerana ia mungkin “sibuk berpolitik berbanding berkhidmat kepada rakyat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.