
Pegawai penyiasat Mohd Zamri Abdul Rashid berkata, siasatan SPRM terhadap Zahid bermula pada Jun 2018.
“Kami pergi ke firma guaman Lewis and Co untuk menghimpunkan dokumen yang relevan. Ia tidak dilakukan dalam tempoh 11 hari, seperti didakwa pihak pembelaan,” katanya menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mohd Afif Ali berhubung cadangan pembelaan bahawa SPRM “hanya mengambil 11 hari” untuk menyiasat Zahid.
Peguam bela Hamidi Mohd Nor sebelum itu menyoal Zamri sama ada siasatan itu dilengkapkan “dalam tempoh paling singkat.”
Katanya, Zamri dalam pernyataan saksinya berkata beliau ditugaskan untuk kes berkenaan pada 8 Okt 2018.
“Dan Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Okt. Jadi kamu hanya mengambil masa 11 hari untuk menyiasat.
“Berdasarkan arahan anak guam saya, kami ingin menyatakan kes kami bahawa tuduhan berkenaan sebenarnya berat sebelah?”
Zamri menafikan perkara itu.
Hamidi kemudian berkata “tiada sesiapa pun akan memasukkan wang diterima hasil rasuah” ke dalam akaun bank mereka, dalam usaha menyangkal siasatan SPRM yang mengaitkan Zahid dengan syarikat-syarikat berkenaan.
Menurut kes pihak pendakwa, Zahid menerima rasuah daripada tiga syarikat sebagai imbuhan untuk memberikan mereka projek MyEG, antara 15 Julai 2016 dan 8 Feb 2017.
“Jumlah RM13.25 juta adalah ‘derma’ daripada tiga syarikat itu, Jogabonito Jewellery & Diamonds, Mastoro Kenny IT Consultant & Services, serta Berani & Jujur Trading kepada Yayasan Akalbudi,” kata peguam itu.
Yayasan Akalbudi adalah yayasan dimiliki Zahid.
“Saya tidak bersetuju,” kata Zamri.
Menjawab soalan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi mengenai status kewangan tiga syarikat berkenaan, Zamri berkata alamat surat-menyurat untuk ketiga-tiganya didaftarkan kepada tiga unit apartmen berbeza di ibu kota.
“Tiada aktiviti perniagaan dilakukan tiga syarikat itu,” katanya.
“Bagi Berani & Jujur, kami menyerbu unit apartmen didaftarkan itu dan mendapati tiada pekerja. Namun, ada jumlah transaksi yang banyak dalam akaun banknya.”
Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 12 tuduhan pecah amanah jenayah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, berjumlah RM117 juta.
Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.