
Pegawai yang tidak bertugas itu dirakam dalam klip video pergaduhan berkenaan namun dilaporkan hanya memerhatikan kejadian tanpa mengambil tindakan.
Kenyataan polis tidak menamakan pegawai penyiasat berusia 27 tahun dari jabatan siasatan jenayah di daerah Kuala Selangor.
Menurut kenyataan itu, pegawai terbabit pergi makan malam bersama seorang rakan dan melalui kawasan berkenaan ketika pertengkaran berlaku.
Pegawai terbabit tidak bersenjata ketika kejadian kerana tidak bertugas. Beliau pada mulanya mahu melaporkan kejadian kepada pusat kawalan kontinjen, tetapi ketika itu kereta peronda telah tiba di tempat kejadian. Dia kemudian pulang ke Subang Jaya.
Kenyataan itu tidak menyatakan sama ada tindakan lanjut akan diambil.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 28 tahun maut maut ditikam dan ditoreh berulang kali menggunakan pisau serta botol bir, manakala rakannya berusia 30 tahun cedera di muka dalam serangan oleh lima lelaki itu. Empat penyerang berkenaan masih bebas.
Menurut polis, pertengkaran itu berpunca daripada dendam lama.