
Pengerusi Biro Bantuan Guaman DAP Ramkarpal Singh berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di setiap negeri, yang mana individu dikenakan penalti tersebut boleh menghubungi biro guaman parti berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada golongan B40.
“Maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ramkarpal berkata Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen dan ADUN DAP menerima aduan orang ramai mengenai isu kompaun kesalahan bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di mana seseorang individu boleh dikompaun sehingga RM10,000.00.
Bermula 11 Mac lalu, mengikut ordinan berkenaan, individu melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19, akan berdepan kompaun maksimum RM10,000.
Manakala, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.
Biro Undang-Undang Amanah turut menawarkan nasihat guaman percuma kepada rakyat yang ingin merayu terhadap kompaun itu.
“Bagi mendapatkan nasihat guaman percuma tersebut, anda boleh menghubungi Hazwan (013 6680072) dan Marwan (011 31240378),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, PKR Johor menawarkan khidmat guaman percuma kepada rakyat negeri itu yang dikompaun RM10,000.
Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata, ia bagi memastikan nasib rakyat terbela.
Sebelum ini, Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu membidas tindakan kerajaan menaikkan kompaun itu.
“Tidak menjadi kesalahan apabila kerajaan menguatkuasakan sesuatu hukuman bertujuan mendidik rakyat agar mereka patuh kepada undang-undang.
“Tetapi kerajaan juga perlu mengambil kira keadaan semasa rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi seperti kehilangan kerja, pendapatan dipotong atau perniagaan merosot kesan daripada pandemik Covid 19,” katanya.