Kalimah Allah: Terima keputusan mahkamah, tak perlu rayu, kata Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

Kalimah Allah: Terima keputusan mahkamah, tak perlu rayu, kata Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

Menurut mereka, ia satu keberkatan semua anak Malaysia boleh menyembah Allah di masjid, gereja dan gurdwara.

Dalam kenyataan bersama 18 Ahli Parlimen, empat ahli Dewan Negara dan 32 ADUN Sabah dan Sarawak itu, mereka turut meminta kerajaan supaya tidak membuat rayuan ke atas keputusan berkenaan.
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sabah dan Sarawak menyeru kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam kalangan penganut Kristian.

Dalam kenyataan bersama 18 Ahli Parlimen, empat ahli Dewan Negara dan 32 ADUN Sabah dan Sarawak itu, mereka turut meminta kerajaan supaya tidak membuat rayuan ke atas keputusan berkenaan.

“Kerajaan persekutuan dan rakyat patut menerima dan tidak merayu ke atas keputusan mahkamah tinggi bahawa larangan penggunaan kalimah Allah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

“Kami, Ahli-ahli Parlimen dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta ADUN dari Sabah dan Sarawak menyeru kerajaan persekutuan dan rakyat Malaysia untuk menerima dan tidak merayu ke atas keputusan mahkamah tinggi pada 10 Mac bahawa larangan terhadap penggunaan kalimah Allah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia satu keberkatan semua anak Malaysia boleh menyembah Allah di masjid, gereja dan gurdwara,” menurut kenyataan itu.

Ahli Parlimen dan ADUN yang membuat kenyatan bersama itu dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), PKR, DAP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PPBM, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Warisan, UPKO dan wakil rakyat bebas.

Mereka berkata, umat Kristian yang menggunakan kalimah “Allah” dan istilah keagamaan yang sama dengan orang Islam kebanyakannya adalah orang Borneo dan Orang Asli yang menutur Bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua atau bahasa ibunda.

“Ia termasuk penganut Kristian kaum Batak, Dayak, Ambon, Timor di Indonesia yang menutur Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua atau bahasa ibunda.

“Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan ‘Allah Taala’, Bahasa Bidayuh menggunakan ‘Tuhan Alla’ sebagai kalimah untuk Yang Maha Esa manakala Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit menggunakan ‘Tuhan Allah’.

“Di Sabah dan Sarawak, Bahasa Malaysia menjadi popular di kalangan umat Kristian kerana pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mematahbalik kemelesetan dalam penggunaan Bahasa Melayu ketika zaman penjajahan,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu, keputusan mahkamah tinggi sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah pihak.

“Ia tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas Muslim dan kemurtadan mereka, satu ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang di Semenanjung.

“Keputusan mahkamah tinggi adalah kemenangan kepada Malaysia dan akan memperkuatkan persekutuan kita. Ia akan membenarkan umat Kristian di kalangan orang Sabah, Sarawak dan Orang Asli untuk menyembah Allah secara bebas, seperti mana kebebasan yang dinikmati saudara-mara Dayak mereka tanpa isu di sebelah sempadan di Kalimantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.