Penduduk ‘serabut’, ‘bingung’ dengan PKPD di Kampung Lingkudau di Sabah

Penduduk ‘serabut’, ‘bingung’ dengan PKPD di Kampung Lingkudau di Sabah

Kerana pagar kawat berduri lewat dipasang, seorang penduduk dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja mendapati laluan sudah dipagari.

Pagar kawat berduri hanya dipasang pihak berkuasa di Kampung Lingkudau, Keningau hari ini, namun pelaksanaan PKPD dijadualkan bermula semalam. (Gambar penduduk kampung)
KOTA KINABALU:
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau di Keningau, didakwa “berserabut” berikutan tiada arahan atau penguatkuasaan khusus dilakukan sejak semalam, iaitu hari pertama perintah berkenaan berkuatkuasa.

Beberapa penduduk mendakwa, mereka kurang jelas dengan pelaksanaan PKPD di kawasan mereka kerana ada yang mengatakan hanya jalan tertentu saja yang akan dipasang pagar kawat berduri.

Penduduk termasuk penjawat awam juga “kebingungan” sama ada perlu ke tempat kerja atau tidak kerana tiada arahan khusus diberikan kepada mereka. Malah mereka tidak pasti kawasan yang benar-benar dikenakan PKPD.

Difahamkan, pihak berkuasa mula memasang khemah di laluan tertentu namun kenderaan atau orang ramai masih boleh bergerak keluar masuk secara bebas dan pagar kawat berduri hanya dipasang hari ini.

“Ada pihak mengatakan kawasan kami tidak kena (PKPD) dan saya pergi kerja seperti biasa semalam, pergi dan balik langsung tiada masalah kerana tiada sekatan, ada khemah tetapi petugas di situ hanya duduk dan sebab itu saya anggap kawasan tempat tinggal saya tidak kena PKPD.

“Tetapi hari ini, apabila mahu balik ke rumah, laluan masuk ke rumah saya sudah ditutup dengan pagar berduri,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali kepada FMT.

Seorang lagi penduduk mendakwa, penguatkuasaan yang lambat dilakukan pihak berkuasa menyebabkan ramai penduduk di salah satu kawasan setinggan di kampung itu “melarikan diri” ke kawasan lain.

“Pengumuman dibuat pada 14 Mac dan maklumat bahawa PKPD akan dilaksanakan di sini telah bocor lebih awal.

“Semalam pula sepatutnya hari pertama PKPD, langsung tiada sekatan, orang ramai masih boleh keluar masuk secara bebas. Apalah ertinya PKPD kalau ada penduduk yang sudah melarikan diri? Mungkin yang disasarkan adalah mereka yang sudah lari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Keningau, Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi berkata, pagar kawat berduri hanya mula dipasang hari ini disebabkan masalah logistik.

Katanya, tidak semua kawasan di Kampung Lingkudau yang dikenakan PKPD manakala pagar kawat berduri juga hanya dipasang di laluan tertentu.

“Pelaksanaan PKPD dibuat selepas mesyuarat oleh pelbagai agensi dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

“Arahan-arahan kepada penduduk termasuk kepada penjawat awam di kawasan itu sepatutnya telah diberikan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD dilaksanakan di Kampung Lingkudau bermula 15 hingga 28 Mac.

Ia susulan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.