PKR-Umno perlu kesepakatan 4 perkara sebelum teruskan rundingan, kata Anwar

PKR-Umno perlu kesepakatan 4 perkara sebelum teruskan rundingan, kata Anwar

Empat perkara itu adalah hak Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi, dan hak masyarakat lain.

PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata PKR dan Umno perlu mencapai persetujuan mengenai empat perkara termasuk hak Bumiputera dan masyarakat sebelum meneruskan rundingan untuk menjalin sebarang kerjasama.

Selain itu, dua parti itu perlu juga mencapai kesepakatan mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

“Ini pendirian PKR dan PH, yang kita tidak akan berganjak dalam perbincangan dengan sesiapa termasuk Umno. Kita akan tegaskan,” kata presiden PKR itu pada sidang media.

Anwar berkata setakat ini pihaknya hanya mengadakan perbincangan awal dengan pimpinan Umno dan adalah terlalu awal untuk meramalkan sebarang perjanjian.

“Saya kata agak terlalu awal untuk perjanjian dan persefahaman. Saya katakan perbincangan awal. Saya tidak nafikan kemungkinan kerjasama,” katanya, menjelaskan status hubungan PKR dan Umno yang mencetuskan pelbagai spekulasi.

Anwar juga menjelaskan sokongan kepada cadangan kerjasama antara PKR dan Umno adalah atas kapasiti peribadi masing-masing sebagai Ahli Parlimen.

“Ada Ahli Parlimen Umno yang sokong, sebagai parti tidak ada. Perbincangan dengan Umno masih berterusan. Ada kemungkinan kerjasama tetapi…agak awal untuk saya tentukan,” katanya.

Anwar dalam temubual dengan Utusan Malaysia kelmarin berkata pertemuan antara pemimpin PKR dan Umno itu berlangsung secara tidak rasmi dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.

Beliau berpuas hati dengan hasil perbincangan itu, namun menegaskan sebarang kerjasama dengan Umno bergantung kepada kesanggupan parti Melayu itu untuk menjalin kerjasama berteraskan “idealisme”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.