
Hakim Rozilah Salleh memerintahkan Norazman Mohd Nor, 50, dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan yang semuanya berjalan serentak dan tambahan penjara 14 bulan lagi jika tertuduh gagal membayar denda.
Ketika pertuduhan dibacakan, bapa kepada dua anak itu dilihat terduduk dan menangis.
Mengikut semua pertuduhan, Norazman didakwa menerima suapan berjumlah RM10,200 melalui pindahan dalam talian daripada dua individu sebagai upah untuk memberikan maklumat dan nombor pelanggan prabayar kepada mereka.
Norazman dituduh melakukan semua kesalahan itu di dua bank sekitar Petaling Jaya, antara 24 Mei 2017 hingga 7 Feb 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan Norazman daripada 24 tuduhan menerima suapan RM304,989 termasuk dalam bentuk dua cek, antara 14 Mei 2014 hingga 11 Sept 2020.
Terdahulu, peguam Muhammad Afiq Ab Aziz dan Muhammad Hanis Nasrullah Mohd Pauzi memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung keluarga selain mempunyai penyakit kronik antaranya darah tinggi dan jantung.
Menurut peguam itu, Norazman yang bekerja sejak 1994, telah ditamatkan perkhidmatan pada 10 Mac lepas dan kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, selain perlu menyara ibunya yang sakit serta seorang anaknya adalah orang kurang upaya (OKU).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Pegawai Pendakwa SPRM Natrah Fareha Rahmat dan Ikhwan Zaudii Rahmat.