Hakim tarik diri, permohonan Anwar batal saman ditangguhkan

Hakim tarik diri, permohonan Anwar batal saman ditangguhkan

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin menarik diri daripada prosiding itu kerana pernah membuat penghakiman kes lain melibatkan Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tiga sabitan terhadapnya.
PUTRAJAYA:
Rayuan Anwar Ibrahim terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung pertikaian melibatkan keputusan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan sabitan jenayahnya, ditangguhkan selepas seorang daripada tiga hakim bersidang menarik diri daripada kes itu.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang mempengerusikan panel tiga hakim, menarik diri daripada kes itu kerana pernah menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Anwar dan keluarganya ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Permohonan pada 2016 itu berkaitan dengan keputusan Lembaga Pengampunan tidak memberikan pengampunan kepada Anwar berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

“Isu sama akan dibangkitkan dalam rayuan ini jadi demi keadilan saya tidak akan mendengarnya,” katanya.

Turut bersidang, S Nantha Balan dan Leng Heng Cheong.

Anwar dan keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 2015, dan pada tahun berikutnya Nor Bee memutuskan kuasa pengampunan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Permohonan supaya Nor Bee menarik diri daripada kes itu susulan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili responden Mohd Khairul Azam Abdul Aziz membawa isu itu ke perhatian mahkamah.

Mahkamah akan menetapkan tarikh prosiding baharu kelak.

Pada September lalu, hakim Akhtar Tahir menolak permohonan kerajaan dan Anwar untuk membatalkan saman difailkan terhadap mereka oleh Khairul, yang juga seorang peguam.

Khairul memohon deklarasi bahawa pengampunan yang diberikan kepada ketua pembangkang pada 2018 itu bercanggah dengan undang-undang kerana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tidak ditubuhkan secara sah ketika itu.

Khairul mendakwa komposisi Lembaga Pengampunan tidak mematuhi Perkara 42 (5) untuk menasihati Agong mengampunkan Anwar.

Katanya perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada 11 Mei 2018, iaitu dua hari selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya, bahawa Agong telah memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

Khairul berkata ini sebelum Kabinet dibentuk seterusnya melanggar Perkara 42 (4) dan (5) Perlembagaan.

Katanya, lembaga itu juga tidak wujud secara rasmi pada masa itu kerana seorang ahlinya – peguam negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali – sedang menjalani “garden leave” manakala menteri wilayah persekutuan belum dilantik.

Katanya, Apandi juga tidak meminta peguam cara persekutuan mewakilinya dalam pertemuan itu.

Perkara 42 (5) menyatakan, keahlian Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi peguam negara, menteri dan sekurang-kurangnya tiga yang lain untuk menasihati Agong.

Anwar memberitahu sidang media pada 16 Mei 2018 bahawa Agong telah memberikannya pengampunan penuh bagi tiga sabitannya – iaitu satu melibatkan salah guna kuasa dan dua berhubung tuduhan liwat – atas alasan berlaku “kesilapan mahkamah”.

Katanya, pengampunan itu juga berdasarkan alasan wujud konspirasi untuk memfitnahnya dan membunuh kerjaya politiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.