Menerusi PKP, sistem penjagaan kesihatan awam melancarkan perang habis-habisan bagi membendung penularan Covid-19, yang banyak membawa kemusnahan kepada dunia.
Walaupun jumlah kes harian turun kepada satu angka pada Julai, lonjakan semula kes bermula Ogos menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui pada Januari bahawa sistem penjagaan kesihatan kita berada dalam keadaan genting, dengan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mampu menampung jumlah kes harian yang melebihi 2,000.
“Antara perkara penting yang kita pelajari adalah langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka masih paling efektif untuk mengekang penularan wabak,” kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye kepada FMT.

“Sistem pengesanan kontak kita juga mestilah efektif supaya apabila wabak tercetus lagi, kita boleh bertindak balas sewajarnya.
“Ini bukan hanya untuk Covid-19 tetapi juga penyakit berjangkit lain, seperti campak dan batuk kering. Jika kita dapat menerapkan pengajaran ini, saya pasti kita akan dapat mengawal penularan (penyakit-penyakit seperti itu) juga.”
Beliau menggesa agar SOP dijadikan lebih “jelas dan konsisten” supaya kita dapat memerangi penularan virus dengan lebih efektif, selain berkata, “tiada makna” sekiranya garis panduan asyik bertukar-tukar.
Selepas lonjakan awal jumlah kes awal tahun lalu, negara dapat menurunkan jumlah kes harian kepada satu angka pada Julai dan Ogos.
Bagaimanapun, pilihan raya Sabah mengakibatkan jumlah kes kembali melonjak pada hujung Ogos, sehibgga mencecah empat angka menjelang hujung tahun. Rekod tertinggi dicatatkan ialah 5,728 kes baharu pada 30 Jan sebelum langkah drastik membawa kepada penurunan jumlah kes secara beransur-ansur; sepanjang dua minggu lalu, jumlah kes baharu kurang daripada 2,000.

“Salah satu halangan paling besar kita tempuhi adalah apabila jangkitan dibawa balik dari Sabah selepas pilihan raya negeri,” kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy.
Beliau menzahirkan kekecewaannya dengan SOP yang longgar semasa pilihan raya itu berlangsung.
“Apabila kita menetapkan peraturan dan undang-undang seperti PKP, ia perlu dipatuhi dengan ketat,” kata beliau.
“Setiap orang harus mematuhinya. Tidak boleh ada yang terkecuali.”
Subramaniam mengingatkan bahawa kluster Covid-19 terbesar tercetus di kilang, tapak pembinaan, dan penjara, yang memberi negara pengalaman berdepan dengan bahaya kesesakan manusia.
Industri diberi amaran jelas tentang bahaya tidak mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal di tempat kerja dan tempat tinggal pekerja, kata beliau, dan kegagalan mematuhinya adalah pengajaran yang “mahal” buat Malaysia.