
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaik kapal itu tiba semua dokumen berkaitan akan diperiksa dengan teliti oleh pihak berkuasa negara ini.
“Kita jangka kontena itu akan sampai hari ini, tapi setakat ini belum sampai lagi, kita sedang memantau dan tindakan yang kita akan lakukan adalah tindakan standard iaitu mana-mana benda yang masuk ke negara dan bercanggah dengan undang-undang akan dihantar kembali ke negara asal.
“Ia termasuk sekiranya mengandungi bahan buangan terjadual atau bahan kimia.
“Sebaik ia sampai di Pelabuhan Klang kita akan buat pemeriksaan fiizikal dan pemeriksaan dokumen, daripada situ kita akan semak keadaan sisa plastik dalam kontena tersebut.
“Semua kontena juga dilarang untuk dibawa keluar dari kapal tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima maklumat mengenai kes itu daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lalu.
Kapal itu yang berlepas dari Los Angeles, AS pada 14 Feb lalu dijangka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor, hari ini dan dihantar menggunakan ejen perkapalan antarabangsa.
Konvensyen Basel membenarkan pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan hanya jika negara pengeksport tidak mempunyai kemudahan untuk merawat dan melupuskan dengan sempurna atau sekiranya buangan berbahaya diperlukan sebagai bahan mentah untuk pemerolehan kembali atau kitar semula di negara pengimport.
Tuan Ibrahim berkata, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Westport Malaysia Sdn Bhd, serta Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersedia untuk tindakan penahanan.
Pemeriksaan bersepadu JAS juga akan dilakukan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).