Koperal Fairul payung sampai balai, bantu lelaki bertongkat redah hujan raih pujian

Koperal Fairul payung sampai balai, bantu lelaki bertongkat redah hujan raih pujian

Anggota itu turut memberikan pakaian kepada warga emas berusia 74 tahun berkenaan selepas melihat baju dipakainya basah akibat meredah hujan.

Gambar tular menunjukkan anggota Balai Polis USJ 8 membantu seorang lelaki warga emas bertongkat ke balai berkenaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mesej tular memaparkan tindakan seorang anggota polis membantu lelaki warga emas bertongkat masuk ke Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, ketika hujan lebat pada Ahad lalu, meraih pujian ramai.

Menerusi mesej itu, anggota dikenali sebagai Fairul Azizi Che Mansor yang ketika itu bertugas di kaunter aduan, segera keluar membawa payung selepas terlihat seorang lelaki bertongkat keluar dari kereta di kawasan tempat letak kenderaan mahu menuju ke balai dalam hujan lebat.

Difahamkan, selepas mengiringi lelaki berkenaan masuk ke balai, anggota berpangkat koperal itu memberikan pakaian kepada warga emas itu apabila melihat baju dipakainya basah akibat meredah hujan.

Selepas lelaki itu selesai membuat laporan, anggota berkenaan sekali lagi membantu mengiringinya sehingga ke kereta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Balai USJ 8 Muhamad Jamil ketika dihubungi FMT berkata, pihaknya bangga dan terharu dengan tindakan murni anggotanya.

“Saya turut berasa bangga dan terharu dengan anggota tersebut, sikap murni ini bukanlah diajar tetapi itu adalah inisiatif anggota tersebut.

“Sebagai penyelia, bagi saya anggota tersebut sememangnya seorang yang bagus, bagi saya tindakannya itu memang wajar diberi pujian,” katanya ketika mengulas mesej tular melibatkan anggota itu.

Jamil berkata, untuk makluman pihak Balai Polis USJ 8 ada menyediakan tempat letak kereta khas bagi golongan orang kurang upaya (OKU), iaitu berdekatan dengan pintu masuk balai yang mempunyai kawasan berbumbung.

Katanya, pihak balai kini sedang dalam perbincangan untuk memberikan penghargaan kepada anggota tersebut atas inisiatif murninya membantu orang awam sehingga menjadi inspirasi kepada anggota lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.