68 anggota ‘Geng Nicky’ ditangkap

68 anggota ‘Geng Nicky’ ditangkap

Semua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahan wang haram.

Polis memburu ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee yang dipercayai masih berada dalam negara ini.
KUALA LUMPUR:
Polis menangkap 68 orang yang dipercayai ahli Geng Nicky yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, semua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahan wang haram.

Menurutnya, jumlah rampasan wang, kenderaan dan pelbagai barangan lain berjumlah lebih RM7 juta.

Tambah beliau, turut dirampas adalah sepucuk pistol dan 40 butir peluru dalam 70 serbuan yang dilakukan dengan 118 warga tempatan dan warga asing diperiksa dalam serbuan sama.

Hamid berkata, polis masih memburu Nicky yang dipercayai masih berada dalam negara ini.

Suspek yang berusia 33 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket yang terlibat dengan banyak penipuan.

Katanya, lapan orang kenamaan iaitu dua berpangkat ‘Datuk Seri’ dan enam lagi berpangkat ‘Datuk’ ditahan dalam operasi tangkapan Geng Nicky.

Dalam pada itu Hamid berkata, polis telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.49 juta dan 35 unit kenderaan bernilai 8 juta.

Katanya, pembekuan itu melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia mengikut Seksyen 44 (1) Amlatfpuaa 2001.

“Tindakan lanjut menjejak dan membekukan (aset) berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan.

“Operasi khas ini dilancarkan susulan maklumat risikan yang diperolehi pada pertengahan Januari 2021 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen Johor selepas Ops Pelican 2.0 yang melibatkan aktiviti Macau Scam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.