
Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 5.31 pagi dan sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata bayi berkenaan ditemukan wanita berusia 30-an itu pada jarak 0.5 meter dari rumahnya, dan didapati berada di atas lantai dalam keadaan berbogel serta masih mempunyai kesan darah pada badannya.
“Bayi perempuan yang cukup sifat itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibersihkan oleh orang kampung sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata susulan daripada penemuan bayi tersebut seorang remaja perempuan berusia 18 tahun telah ditahan di sekitar rumahnya terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian pada 8 pagi tadi dan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Dipercayai remaja terbabit telah melahirkan bayi itu di dalam tandas rumahnya sebelum meninggalkan bayinya di belakang sebuah rumah yang berdekatan,” katanya.
Katanya, remaja terbabit akan direman esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, dan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.