Harus lebih peka dengan kemasukan orang luar, MB Perak beritahu JAKOA

Harus lebih peka dengan kemasukan orang luar, MB Perak beritahu JAKOA

Dikhuatiri orang luar yang datang ke perkampungan Orang Asli membawa virus Covid-19, kata Saarani Mohamad.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata, Tok Batin dan penduduk Orang Asli juga perlu berwaspada apabila orang luar tiba-tiba datang ke kampung. (Gambar Bernama)
SUNGAI SIPUT:
Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) diminta sentiasa peka sebelum mengeluarkan surat kelulusan membenarkan mana-mana pihak memasuki perkampungan Orang Asli untuk menganjurkan sebarang aktiviti atau program.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata, Jakoa seharusnya tidak sewenang-wenangnya membenarkan sesiapa pun, termasuk warga asing, memasuki perkampungan Orang Asli memandangkan situasi Covid-19 dalam negara.

“Saya berharap selepas ini, selain daripada Jakoa, Tok Batin dan penduduk Orang Asli juga perlu berwaspada apabila orang luar yang tidak kita kenali sejarahnya tiba-tiba datang ke kampung.

“Suasana sekarang tidak mengizinkan, mungkin dia pembawa virus (Covid-19),” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi 57 pelajar Orang Asli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia sekitar Parlimen Sungai Siput di SMK Bawong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktivis Rusia, Valeriya Ashtashova, yang didakwa mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap bersama anak lelakinya di Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah, bulan lalu.

Pada Jumaat, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad berkata, Ashtashova diberi kelulusan untuk mengadakan program Kelas Bahasa Inggeris di kampung itu pada 14 Dis tahun lalu, namun telah dibatalkan.

Semalam, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, aktivis Rusia berkenaan telah pun meninggalkan perkampungan itu pada 14 Mac lalu, namun pihaknya tidak menerima laporan mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh wanita tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.