Ini menjadikan 347,780 kes pulih daripada keseluruhan 365,829 kes Covid-19 dengan 1,353 kematian direkodkan setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 16,696 kes aktif, dengan 204 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata, kes baharu itu melibatkan enam kes import dan 1,883 kes penularan tempatan yang terdiri daripada 1,689 warganegara dan 194 warga asing.
Katanya, Selangor kembali mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 517 kes.
“Daripada jumlah ini, 379 kes (73.3%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.
Ia disusuli Sarawak dengan 489 kes, Kelantan (226), Sabah (142), Kuala Lumpur (134), Pulau Pinang (92), Johor (84), Perak (56), Kedah (53), Negeri Sembilan (51), Terengganu (14), Pahang (13), Putrajaya (lapan), Melaka (enam), Perlis (tiga) dan Labuan (satu).
Noor Hisham berkata, lima kematian dicatatkan di Sarawak serta masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur yang membabitkan tujuh warganegara dan seorang warga asing berusia 45 hingga 89 tahun.
Semua kecuali dua orang mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik.