Dipukul kerana berpuasa, kes bukti majikan tak pedulikan hak, kata Suhakam

Dipukul kerana berpuasa, kes bukti majikan tak pedulikan hak, kata Suhakam

Suruhanjaya itu berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan menggesa semua orang memupuk budaya hormat dan tolak ansur.

Dua lelaki dipercayai pengawal peribadi didakwa dipukul menggunakan rotan oleh majikan mereka dan seorang pekerja lain.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menyifatkan kes seorang lelaki menyerang pekerjanya kerana berpuasa mengukuhkan persepsi bahawa majikan dan syarikat di negara ini tidak melindungi atau menghormati hak pekerja.

Dalam kenyataan, Suhakam berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan tiada sesiapapun patut dipukul, dihina atau diaibkan kerana berbuat demikian.

“Dalam hal ini, majikan patut berusaha menghormati kebebasan agama atau berkepercayaan, termasuk hak pekerja untuk mengakui, menzahirkan kepercayaan dalam bersembahyang, perayaan, amalan dan ajaran agama mereka walaupun di tempat kerja.”

Suhakam menggesa majikan di semua sektor memastikan langkah sewajarnya dilakukan untuk menghalang dan menghapuskan semua bentuk sikap tak bertoleransi, ketaksaksamaan dan diskriminasi terhadap agama.

Katanya, wujud keperluan untuk menyemai budaya hormat-menghormati, tolak ansur, kesaksamaan dan tidak diskriminasi dalam masyarakat.

“Setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang saling menghormati dan meraikan kepelbagaian agama.”

Semalam, dua lelaki dikatakan pengawal peribadi, mendakwa dipukul menggunakan rotan oleh majikan mereka dan seorang lagi pekerja.

Kejadian berlaku di rumah majikan terbabit di Bukit Tinggi, Klang, selepas mangsa dimarah kerana berpuasa.

Polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.