Tertuduh bawah SOSMA berhubung kes sabotaj air dibenar ikat jamin RM50,000

Tertuduh bawah SOSMA berhubung kes sabotaj air dibenar ikat jamin RM50,000

Mahkamah benarkan pengarah syarikat berusia 43 tahun itu diikat jamin atas faktor kesihatan.

Tahun lalu, Lim Kian Aik dan kontraktor R Nathan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang pengarah syarikat yang didakwa melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dibenar diikat jamin RM50,000 oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Azizah Nawawi membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti oleh Azizah dan Hakim Supang Lian itu dibuat selepas memutuskan dia tertakluk di bawah Seksyen 13(2)(c) SOSMA yang memperuntukkan ikat jamin boleh diberikan kepada tertuduh yang sakit. Hakim Ghazali Cha pula menentang keputusan itu.

Azizah berkata, Lim disahkan menderita sindrom koronari akut dan seorang pegawai perubatan dari klinik Penjara Sungai Buloh berpendapat, dia berisiko tinggi menderita serangan jantung, selain orang yang sakit dari perspektif perubatan.

Beliau membenarkan Lim, 43, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat seminggu sekali.

Pada 23 Nov tahun lalu, Lim dan kontraktor R Nathan, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap pertuduhan melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox , Rawang , Gombak di sini antara 2 dan 10 Nov lalu.

Mereka juga berdepan lima tuduhan lain mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, sekiranya sabit kesalahan. Memandangkan Seksyen 124K Kanun Keseksaan mengguna pakai prosedur SOSMA, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Lim, Wan Kok Cheong berhujah anak guamnya yang telah ditahan di Penjara Sungai Buloh hampir enam bulan, menderita sindrom koronari akut dan perlu diberi ubat secara teratur dan akses berjumpa doktor.

Wan turut membentangkan laporan perubatan oleh Institut Jantung Negara mengenai keadaan kesihatan Lim.

Beliau berkata, kes Lim telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud yang dibantu TPR Mohd Zain Ibrahim, berhujah permohonan ikat jamin Lim harus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes itu telah dipindahkan ke mahkamah itu.

Wan memberitahu pemberita keluarga Lim akan membayar ikat jamin itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.