Bekalan ayam cukup, tidak perlu keluar permit import

Bekalan ayam cukup, tidak perlu keluar permit import

Harga ayam standard ditetapkan pada RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula hari ini.

Harga maksimum ditetapkan bagi ayam, daging lembu, telur dan makanan laut sehingga 20 Mei.
KUALA LUMPUR:
Bekalan ayam bagi pasaran tempatan dijamin mencukupi dan tiada keperluan untuk kerajaan mengeluarkan permit import (AP) bagi barangan berkenaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pihaknya kerap mengadakan sesi libat urus dengan penternak ayam di seluruh negara bagi memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.

“Kenyataan yang dibuat oleh timbalan saya Rosol Wahid adalah sekiranya ada keperluan kerajaan perlu mengeluarkan AP untuk ayam diimport untuk menampung permintaan tempatan, tetapi buat masa ini ia tidak perlu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Riang Riuh Raya dan Malaysian Marketplace di sebuah pusat membeli belah terkemuka, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin yang mempersoalkan tindakan kementeriannya yang mahu mengeluarkan AP ketika masih berbaki tiga minggu sebelum Aidilfitri.

Dalam pada itu, Nanta turut menafikan pihaknya lambat dalam menangani isu kenaikan harga ayam.

Sebaliknya, beliau berkata mengambil langkah yang holistik dalam menyelesaikan masalah berkenaan agar semua pihak, bukan sahaja pengguna, malah peniaga dan penternak tidak terjejas.

“Kita perlu faham, peniaga ayam yang berniaga di pasar adalah peniaga kecil dan mereka membeli ayam dengan harga yang tinggi daripada pengedar atau penternak, oleh itu mereka perlu meningkatkan sedikit harga.

“Tetapi mulai Rabu, dengan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, harga ayam telah ditetapkan sebanyak RM7.90 sekilogram (kg), ia masih lagi di bawah RM8,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.