Vaksin selamat untuk warga emas, jamin pakar perubatan

Vaksin selamat untuk warga emas, jamin pakar perubatan

Setakat 19 April, iaitu permulaan fasa kedua program imunisasi, lebih daripada separuh populasi warga emas yang disasarkan belum mendaftar, kata pakar.

Seorang warga emas mendapat dos pertama suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa kedua yang bermula pada 19 April lalu di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Tun Ali, Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar perubatan menggesa masyarakat memainkan peranan aktif bagi memastikan warga emas mendapat vaksin Covid-19.

Kata mereka, orang ramai perlu meyakinkan saudara mara mereka yang lebih berusia, sama ada ibu bapa, ibu dan bapa saudara, nenek dan datuk, mahupun jiran, untuk mendapatkan vaksin.

Setakat 19 April, iaitu permulaan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, lebih daripada separuh populasi warga emas yang disasarkan belum mendaftar, kata pakar.

Hanya 1.44 juta rakyat berusia 60 tahun ke atas – daripada 3.8 juta yang disasarkan – telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).

Perunding Hospital Sungai Buloh, doktor penyakit berjangkit Dr Benedict Sim Lim Heng berkata, sangat membimbangkan apabila hanya sedikit yang berusaha memastikan warga emas mendapat vaksin.

“Ibu bapa saya sudah tua dan saya faham tahap kebimbangan terhadap vaksin tetapi saya tak dapat bayangkan sekiranya mereka dijangkiti Covid-19.

“Kesan sampingan daripada vaksin adalah ringan. Tidak mendapatkan vaksin bukanlah idea yang baik,” kata beliau dalam siri webinar mengenai vaksin Covid-19 untuk pekerja kesihatan pada 7 April.

Selain faktor usia, warga emas juga cenderung menghidap diabetes, darah tinggi, penyakit kardiovaskular, penyakit serebrovaskular, demensia atau pertumbuhan sel yang tidak normal, yang akan menerukkan lagi keadaan.

Menurut Ketua Unit Geriatrik Hospital Kuala Lumpur Dr Rizah Mazzuin Razali dalam satu siri webinar lain, pesakit Covid-19 yang juga menghidap penyakit lain yang serius mungkin akan dimasukkan ke hospital, ke unit rawatan rapi (ICU), atau memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kata beliau, di Amerika Syarikat, di mana lebih daripada setengah juta orang meninggal dunia akibat Covid-19, pusat kawalan penyakit (CDC) mendapati lapan daripada 10 kematian melibatkan orang dewasa berusia 65 tahun ke atas.

Beliau juga memetik analisis data persekutuan oleh New York Times yang menunjukkan bahawa Covid-19 melanda sekitar 31,000 fasiliti rawatan jangka panjang (LTCF) di AS, mengorbankan nyawa lebih daripada 163,000 penghuni dan pekerja, selain menyumbang kepada lebih daripada satu pertiga daripada jumlah kematian akibat virus sejak akhir musim bunga.

Selepas vaksin diberikan kepada penghuni LTCF bermula akhir Disember hingga awal Februari, kes dan kematian baharu di rumah jagaan menurun dengan mendadak, lebih daripada 80%, mengatasi kadar penurunan kebangsaan.

“Vaksin Covid-19 selamat untuk warga emas dan mereka perlu diinokulasi. Namun, warga emas yang lemah perlu dinilai secara klinikal sebelum diberikan vaksin,” kata Dr Rizah dalam siri webinar bertajuk “Covid-19: Vaccinating the Elderly and Those Under Palliative Care” (Covid-19: Vaksinasi bagi Warga Emas dan Pesakit bawah Jagaan Paliatif) pada 14 April.

Sementara itu, Ketua Unit Rawatan Paliatif Hospital Selayang, Dr Richard Lim Boon Leong, yang turut menghadiri siri webinar sama, berkata pesakit yang menghidap penyakit membawa kematian, juga boleh menerima suntikan vaksin Covid-19 selagi keadaan mereka “stabil”.

“Ada yang mungkin tidak ingin dilindungi sepenuhnya, tetapi (ingin) memenuhi masa yang masih tinggal buat mereka,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.