MTUC bidas cara Perkeso nilai prestasi pekerja

MTUC bidas cara Perkeso nilai prestasi pekerja

Dasar itu menyekat perkembangan modal insan dan memberi mesej salah kepada syarikat lain.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, penilaian prestasi kerja dibuat berdasarkan skop kerja yang perlu dilakukan, bukannya aktiviti media sosial seperti seperti berkongsi hantaran di Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam cara Perkeso menilai prestasi pekerjanya berdasarkan kiraan jumlah pautan yang dikongsi oleh kakitangan pertubuhan itu dari akaun Facebook rasmi ketua eksekutifnya Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, dasar itu akan menyekat perkembangan modal insan dan memberi mesej salah kepada syarikat lain.

“Penilaian prestasi kerja dibuat berdasarkan skop kerja yang perlu dilakukan, bukannya aktiviti media sosial seperti seperti berkongsi hantaran di Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

Adakah ketua eksekutif Perkeso terdesak untuk meraih populariti dan memaksa pekerja menurut sindrom “yes bos”,” katanya dalam kenyataan.

Bermula 1 Mac penilaian prestasi kakitangan Perkeso mengambil kira jumlah pautan yang dikongsi dari akaun Facebook rasmi Azman dengan markah dikira berdasarkan jumlah perkongsian pautan.

Maklumat itu terkandung dalam memo yang dihantar oleh Azman kepada seluruh kakitangan Perkeso dan diperolehi oleh FMT.

Memo itu menyebut pemberian markah secara berkala kepada kakitangannya dibuat berdasarkan jumlah perkongsian dalam tempoh setahun.

Lima markah diberikan kepada kakitangan yang berkongsi maklumat dari akaun Facebook Azman melebihi 50 kali setahun.

Kakitangan yang mengongsi satu hingga lima maklumat setahun diberi sekadar 1 markah.

Dalam pada itu Kamarul berkata, pihaknya bersedia mengambil tindakan dengan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, MTUC menggesa pihak pengurusan supaya mementingkan kebajikan pencarum dan pekerja Perkeso.

“Jurang gaji yang besar perlu diselesaikan dengan mengambil kira sumber wang pencarum pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.