
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin, berkata bilangan pelajar itu terdiri daripada 39 lelaki dan 71 perempuan membabitkan sekolah menengah dari pelbagai daerah.
“Walaupun kita menggunakan asrama sekolah, namun ia tidak menjejaskan aktiviti persekolahan jika sesi persekolahan kembali dibuka selepas ini,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Zaini berkata, PKRC itu boleh memuatkan lebih 300 pelajar secara berperingkat, namun buat permulaan sebanyak 168 katil dimasukkan ke pusat berkenaan.
Minggu lalu, Zaini dilaporkan berkata PKRC ketujuh yang dibuka di Kelantan itu susulan bilangan katil yang hampir penuh akibat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negeri ini.
Sebelum ini, penutupan semua sekolah di Kelantan dilanjutkan sehingga 1 Mei bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zulkernai Fauzi, dilaporkan berkata, ia membabitkan 596 sekolah rendah dan menengah di negeri itu.
Katanya, penutupan sekolah diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Khas) Negeri Kelantan-Penguatkuasaan Covid-19.