Saringan Covid-19 besar-besaran di seluruh Selangor bermula 8 Mei

Saringan Covid-19 besar-besaran di seluruh Selangor bermula 8 Mei

Saringan dijalankan secara percuma bagi penduduk Selangor.

Saringan akan bermula di Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, dan berlanjutan di kawasan lain di seluruh negeri hingga 10 Jun.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor mengumumkan saringan Covid-19 besar-besaran akan dijalankan di seluruh negeri bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan ini percuma bagi penduduk Selangor dan akan melibatkan dua kawasan setiap hari, bermula dengan Kajang dan Semenyih pada 8 Mei.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, faktor penyumbang kepada lonjakan kes Covid-19 adalah “pembawa senyap” yang tidak menyedari mereka dijangkiti virus.

Kata beliau, pembawa virus seperti ini membimbangkan kerana mereka boleh menyebarkan virus kepada golongan berisiko tinggi.

Beliau berkata, program pengawasan menerusi pengesanan kes aktif akan dilaksanakan bawah Pelan Tindakan Kesihatan Awam Selangor.

“Diharapkan dengan program ini, penduduk Selangor akan mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan di kawasan mereka bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor,” kata beliau.

Hari ini, Selangor mencatatkan bilangan jangkitan terbanyak dengan 675 kes. Dalam seminggu yang lalu, bilangan kes di Selangor melepasi paras 1,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.