
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira 4.45 petang 27 April lalu, pemandu Grab berusia 41 tahun itu disamun seorang penumpang lelaki di Jalan Prima 1, Kepong.
Beliau berkata, suspek mengacukan sebilah pisau di leher mangsa sambil memaksanya menyerahkan wang sebelum menyemburkan cecair pemedih mata di muka mangsa.
Katanya, suspek kemudian merampas telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.
Susulan tangkapan suspek itu, Beh berkata, polis merampas beberapa barangan termasuk wang tunai, sebuah telefon bimbit dan sebotol penyembur lada dari lelaki tidak mempunyai rekod jenayah lampau terbabit yang dianggarkan bernilai RM1,000.
“Suspek kini ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga 10 Mei depan,” katanya dalam kenyataan
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan senjata yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dengan tangkapan itu, katanya, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun sekitar Sentul sejak seminggu lalu.