Penyeludup lari tinggalkan 1,609 kotak mercun

Penyeludup lari tinggalkan 1,609 kotak mercun

Anggota Strike Force mengekori kenderaan itu namun pemandunya berhenti dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Azhari Nusi berkata mercun itu disyaki diseludup dari negara jiran. (Gambar PGA7)
KOTA BHARU:
Seorang penyeludup lari meninggalkan 1,609 kotak mercun bernilai RM14,825 selepas kegiatannya berjaya dikesan anggota Strike Force Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Lanchang, Pasir Mas, hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Azhari Nusi berkata ketika kejadian sepasukan anggota rondaan Op Benteng mengesan seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 7 pagi.

“Anggota Strike Force mengekori kenderaan terbabit namun pemandu yang menyedarinya telah bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Anggota pasukan menunggu 20 minit di kawasan tersebut, tetapi tiada siapa yang datang untuk menuntut kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai beberapa kotak yang mengandungi barang mercun yang disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati barang tersebut disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan dan barangan itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

“Kesemua barang kes dibawa ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkenaan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.