Warga Thailand ditahan cuba seludup petrol di Bukit Kayu Hitam

Warga Thailand ditahan cuba seludup petrol di Bukit Kayu Hitam

Suspek disyaki cuba seludup 400 liter petrol disembunyikan di dalam kenderaan yang diubahsuai.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Fauzi Mohd Yusoff berkata lelaki itu yang memandu kereta Toyota Camry ditahan ketika pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan seorang lelaki warga Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kerana disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Fauzi Mohd Yusoff berkata lelaki itu yang memandu kereta Toyota Camry bernombor pendaftaran Thailand ditahan di Blok B, laluan keluar kompleks itu pada 10.45 pagi, Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan itu pihak berkuasa menemui pengubahsuaian pada bahagian belakang dan ruang tempat duduk kenderaan terbabit yang dipercayai digunakan bagi tujuan menyeludup minyak petrol.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 400 liter petrol disembunyikan di dalam kenderaan terbabit dengan nilai sekitar RM1,550. Turut dirampas kereta Toyota Camry terbabit,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Fauzi berkata, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Katanya, AKPS akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan selain memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.