Polis cari pesakit Covid-19 hilangkan diri dari wad

Polis cari pesakit Covid-19 hilangkan diri dari wad

Kehilangan lelaki berusia 39 tahun itu disedari seorang jururawat yang bertugas kira-kira pukul 8.45 pagi semalam, selepas mendapati dia tiada di katil.

Pihak polis menggerakkan hampir semua elemen, termasuk Cawangan Khas dan anggota bertugas di lokasi sekatan jalan raya, untuk mengesan pesakit itu.
SUNGAI PETANI:
Polis sedang mengesan seorang pesakit Covid-19 yang dipercayai melarikan diri dari Hospital Lama Sungai Petani, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, usaha mengesan lelaki berusia 39 tahun terbabit dimulakan sejurus pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki itu dari wad.

“Pasukan petugas khas turut digerakkan untuk mencari pesakit terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini, namun mendapati dia tiada di rumah,” kata beliau yang dihubungi Bernama hari ini.

Adzli berkata, pihaknya sudah menggerakkan hampir semua elemen termasuk Cawangan Khas, anggota balai polis, pasukan petugas khas serta pegawai dan anggota bertugas di lokasi sekatan jalan raya untuk mengesan lelaki itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, bagi pembedahan kecil pada tangannya yang bernanah, Khamis lalu.

“Ujian calitan Covid-19 dijalankan terhadap lelaki itu dan dia didapati positif, Jumaat lalu, dan kemudiannya dikuarantin di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani.

“Difahamkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga masih menyiasat kontak rapat lelaki terbabit,” kata beliau.

Menurut Adzli, lelaki itu sudah berada di wad berkenaan selama enam hari dan kehilangannya disedari seorang jururawat yang bertugas kira-kira pukul 8.45 pagi semalam, selepas mendapati dia tiada di katil.

“Ada pesakit lain mendakwa melihat lelaki terbabit keluar dari wad tersebut kira-kira 6.30 pagi semalam dengan membawa beg dan barangan peribadinya,” kata beliau.

Adzli berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu dimohon menghubungi balai polis berhampiran atau KKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.