Seludup bahan guna bas ekspres, 2 ditahan ketika proses air ketum

Seludup bahan guna bas ekspres, 2 ditahan ketika proses air ketum

Suspek disyaki mendapatkan bekalan daun ketum dari utara Semenanjung dan dihantar menggunakan bas ekspres untuk diproses di premis Seri Kembangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Mohd Rosdi Daud (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan yang dirampas antaranya dua periuk besi besar, dua tong gas dan dua tungku besi dipercayai digunakan untuk memproses air ketum. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Taktik licik dua lelaki menggunakan bas ekspres untuk menyeludup daun ketum terbongkar apabila premis memproses air daun ketum dipercayai milik mereka diserbu di Lestari Perdana, Seri Kembangan, pada Isnin.

Kedua-dua lelaki berumur 20-an dan 30-an itu ditahan semasa sedang memproses air ketum di premis tingkat dua pada 10 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek disyaki mendapatkan bekalan daun ketum dari utara Semenanjung dan dihantar menggunakan bas ekspres untuk diproses di premis di Seri Kembangan.

“Polis merampas 190 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum yang siap dimasak dianggar bernilai RM3,800 dengan kuantiti 285 liter dan dua periuk besar mengandungi daun ketum yang direndam,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Mohd Rosdi berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya dua periuk besi besar, dua tong gas dan dua tungku besi dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang direman hingga Jumaat itu mempunyai rekod jenayah, iaitu seorang berkaitan Akta Racun 1952 manakala seorang lagi melibatkan kes dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.