7 lelaki didakwa sertai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nantha Kumar’

7 lelaki didakwa sertai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nantha Kumar’

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah Kinta antara Ogos 2018 hingga Februari tahun lepas.

Pertuduhan ke atas semua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan. (Gambar Reuters)
IPOH:
Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Nantha Kumar sejak 2018.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Gunasegaran, Muhammad Firdaus Abdullah, Rahuljeet Singh, P Kamal Raj, N Pubalan, S Kumaran dan G Prem selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Semua tertuduh yang berusia 23 hingga 35 tahun terbabit didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah Kinta antara Ogos 2018 hingga Februari 2020.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala enam daripada tujuh tertuduh diwakili peguam, sementara Pubalan tidak mempunyai peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rohaiza ketika ditemui media kemudian memaklumkan bahawa mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah TInggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.