Dakwaan langgar SOP, Awie sedia beri kerjasama penuh

Dakwaan langgar SOP, Awie sedia beri kerjasama penuh

Awie akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu pelanggaran SOP yang tular di media sosial.

Awie dan penganjur acara itu akan dipanggil untuk memberi keterangan esok.
PETALING JAYA:
Penyanyi rock terkenal, Awie akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang tular menerusi satu video pendek, sejak semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh wakil penyanyi itu, Mubarak Akhtar yang berkata bahawa pihaknya dan juga penganjur, LaCrista Hotel akan dipanggil untuk memberi kenyataan selewat-lewatnya, esok.

“Pihak kami akan dipanggil untuk memberikan kenyataan selewat-lewatnya esok.

“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 42 saat memaparkan penyanyi kumpulan Wings itu bersama beberapa individu tidak memakai pelitup muka.

Difahamkan, majlis itu berlangsung pada 30 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Mohd Sukri Kaman, berkata penganjur dan beberapa individu yang terbabit turut akan dipanggil dalam masa terdekat.

Katanya, polis menerima laporan pada 12.43 tengah hari tadi yang memaklumkan berlaku pelanggaran SOP oleh selebriti itu ketika menjayakan majlis misi kemanusiaan.

“Semua yang terbabit dalam kes ini termasuk penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

“Siasatan akan dilengkapkan dengan segera dan akan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk sebarang keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.