Badan Peguam mahu tarikh awal perbicaraan saman berkait darurat

Badan Peguam mahu tarikh awal perbicaraan saman berkait darurat

Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan tujuh peruntukan dalam Ordinan Darurat kerana bercanggah dengan perlembagaan.

Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonan serupa oleh beberapa NGO dan aktivis hak asasi pada Julai.
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam mahu Mahkamah Tinggi mempercepatkan pendengaran permohonannya untuk merujukkan beberapa persoalan perlembagaan berhubung perisytiharan darurat kepada Mahkamah Persekutuan.

Peguam Abdul Rashid Ismail memberitahu hakim Ahmad Kamal Md Shahid bahawa Majlis Peguam memfailkan permohonan rujukan itu di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman pada Jumaat lepas.

“Kami juga memfailkan sijil perakuan segera berhubung perkara ini,” katanya.

Bulan lepas, Majlis Peguam memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan tujuh peruntukan Ordinan Darurat dengan berkata, ia bercanggah dengan perlembagaan.

Antara peruntukan ordinan berkenaan yang hendak diisytiharkan bercanggah dengan perlembagaan ialah Seksyen 5, 11 (a) dan (b), 14, 15 dan 18 Ordinan Darurat No 1, yang berkait dengan pampasan aset, kuasa eksekutif dan legislatif, sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut Rashid, Mahkamah Tinggi juga akan mendengar permohonan rujukan daripada beberapa NGO dan aktivis hak asasi berhubung isu sama pada 22 Julai.

Kumpulan itu mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan keesahan pindaan Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh isu perisytiharan darurat dan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memeriksa perkara itu.

“Isu mereka serupa dengan kami. Jadi kami mencadangkan kepada mahkamah supaya mendengar permohonan kami pada hari sama dengan mereka atau lebih awal kerana ia boleh membuat satu keputusan, bukan dua,” kata Rashid.

Kamal bagaimanapun menetapkan 19 Mei depan untuk pengurusan kes lebih lanjut berkait permohonan rujukan Majlis Peguam.

Peguam persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili kerajan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam tindakan sivil itu.

Selain NGO terbabit dan Majlis Peguam, individu seperti bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan dan peguam Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar turut memfailkan tindakan undang-undang berhubung perisytiharan darurat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.