
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati, maklumat yang disebarkan adalah tidak tepat.
“Sebenarnya ada salah faham. Ada beberapa portal mendakwa wanita itu bertugas sebagai GRO.
“Tetapi sebenarnya wanita berasal dari China itu mempunyai pasport sah dan mempunyai kerjaya, malah menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.
“Beliau langsung tidak pernah bekerja sebagai GRO atau pergi ke pusat hiburan di Jalan Canning Estate, seperti dilaporkan.
“Jadi saya tidak tahu macam mana cerita itu kononnya beliau pergi ke pusat hiburan tersebut (kemudiannya disahkan positif dan punca penularan),” katanya dalam sidang media selepas memantau sekatan jalan raya di Plaza Tol Ipoh, Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur.
Mior bagaimanapun tidak mendedahkan siapa sebenarnya punca kewujudan kluster itu.
Pada 10 April lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan wujudnya Kluster Jalan Canning Estate melibatkan aktiviti sosial yang diadakan di Jalan Canning Estate, Taman Canning di mana sehingga 12 April, 60 individu disaring dengan 39 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.
Susulan itu, tular di media sosial kononnya kluster tersebut membabitkan aktiviti mendapatkan GRO di pusat hiburan tersebut, sehingga ada yang positif dan telah menjangkiti ramai individu lain.