
Sumber SPRM berkata, hasil siasatan mendapati suspek meminta dan menerima rasuah RM300 setiap satu daripada lima pelajar di akademi swasta itu untuk mengubah keputusan gagal kepada lulus bagi subjek animasi.
“Suspek merupakan lelaki berusia 29 tahun yang bertugas sebagai pensyarah di akademi swasta berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, suspek ditahan 2 petang tadi di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.