
Ia berikutan keputusan kerajaan untuk membenarkan Boustead Group meneruskan projek LCS yang ditangguhkan sejak 2019, tetapi dengan syarat yang perlu dipatuhi syarikat tersebut.
Kumpulan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), menyeru ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih besar terhadap projek itu, sekali gus mendesak kerajaan untuk memberikan lebih banyak perincian mengenai perbelanjaan projek tersebut.
“Mengumumkan untuk meneruskan projek LCS tanpa memberikan perincian dana – jumlah, sumber, dan jumlah kapal yang akan dihantar, adalah separuh masak,” kata presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan hari ini.
“Kami mengalu-alukan pengumuman menteri pertahanan baru-baru ini tetapi dengan semangat yang bercampur-baur. Sekiranya projek itu dikendalikan dengan baik selepas mengambil pelajaran dari kesilapan lalu, ia berpotensi untuk memberi kesan positif terhadap ekonomi.
“Jika tidak, membelanjakan lebih banyak dana untuk projek dan pasukan pengurusan yang tidak kompeten seolah menggali lubang kubur sendiri.”
Tambah Arshad projek LCS yang dihidupkan semula juga perlu dikendalikan oleh pasukan baharu dan bertanggungjawab.
Selain itu, beliau meminta kerajaan untuk mendedahkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap laporan yang difailkan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) pada September 2020, berhubung kemungkinan wujud penyelewengan dalam proyek LCS bernilai RM9 bilion itu.
“Sejujurnya, dari perspektif operasi ketenteraan, ia adalah kegagalan diperingkat tertinggi. Orang di Putrajaya, kementerian pertahanan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), BHIC dan Boustead Naval Shipyard (BNS) perlu bertanggungjawab.
“Turut dilaporkan bahawa daripada RM6 bilion yang telah dikeluarkan untuk projek tersebut, RM1 bilion telah hilang dari akaun projek.
“Sekiranya dana yang dikeluarkan tidak sampai kepada kontraktor, jadi ke mana perginya? Perdana menteri, serta menteri kewangan dan pertahanan mesti menjawab soalan ini. ”
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keyakinan rakyat dan kepentingan nasional akan dicapai sekiranya kerajaan bersikap telus dan mendedahkan syarat-syarat lanjutan projek yang perlu dipatuhi syarikat tersebut.
“Kerajaan tidak boleh sewenang-wenang menyatakan kepentingan peluang pekerjaan, vendor dan LTAT sebagai alasan untuk meneruskan projek tanpa menggariskan langkah perlindungan untuk memastikan kontraktor akhirnya menyiapkan projek,” katanya dalam catatan di Twitter .
Ahli Parlimen PKR itu mendesak kerajaan supaya tidak mengulangi kegagalan masa lalu dalam meneruskan projek tersebut, sambil meminta garis waktu dan jadual kapal-kapal itu perlu disiapkan.
Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sebelum ini diberitahu bahawa Boustead Group telah membuat komitmen bertulis dengan pembekal pihak ketiga mengenai spesifikasi dan peralatan untuk LCS sebelum ia dipersetujui kerajaan.
“Ini, secara tidak langsung memberi pengaruh besar terhadap bentuk terperinci (detail design) LCS yang disarankan BNS kepada kementerian pertahanan, berbanding mempertimbangkan keperluan TLDM sebagai pengguna akhir.
“Perlu ditegaskan bahawa keutamaan dalam perolehan pertahanan adalah mendapatkan peralatan terbaik untuk angkatan bersenjata kita. Dengan logik ini, keperluan angkatan bersenjata adalah yang paling utama, bukannya keperluan syarikat atau kepentingan lain,” tambahnya.