
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, tiga individu yang masing-masing berumur 12, 13 dan 44 tahun ditahan kira-kira 9 malam ketika bermain mercun jenis bola dan membalingnya dari tingkat 11 pangsapuri itu.
Katanya, 48 mercun jenis bola dirampas daripada beg silang remaja berusia 13 tahun itu.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah premis di pangsapuri berkenaan dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun pada hari sama kira-kira 11 malam kerana menjual mercun tanpa lesen serta merampas 130 mercun bola dan pelbagai jenis bunga api,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan itu disiasat berhubung kes melontar mercun ke arah anggota polis di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kesalahan membakar mercun dilarang dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 kerana memiliki atau menjual mercun dilarang.
Katanya, semua lelaki itu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Semalam, media melaporkan sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menyuraikan kira-kira 200 penduduk yang berkumpul di kawasan letak kereta Pangsapuri Sri Perak dan membakar mercun secara terbuka pada tengah malam semalam.
Mereka tidak mengendahkan amaran polis untuk berhenti bermain mercun dan ketika polis menyuraikan orang ramai, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir terkena anggota polis di lokasi kejadian.
Letupan itu dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar ke arah pasukan polis itu dan orang ramai segera beredar selepas letupan berkenaan.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis berjaya mengawal keadaan di tempat kejadian.