Keputusan semakan kehakiman cabar lanjutan lesen Lynas pada 28 Julai

Keputusan semakan kehakiman cabar lanjutan lesen Lynas pada 28 Julai

Ini membabitkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menterinya melanjutkan lesen kilang itu selama enam bulan.

Tiga individu terbabit antara lain memohon deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr Mahathir Mohamad serta 27 anggota Jemaah Menterinya pada 2019 untuk membenarkan operasi kilang Lynas dilanjutkan selama enam bulan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Julai untuk keputusan permohonan semakan kehakiman tiga individu yang mencabar keputusan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan bekas anggota Jemaah Menterinya melanjutkan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd., selama enam bulan.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi berkata Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili pemohon dan 31 responden pada prosiding dalam talian hari ini.

Semakan kehakiman itu difailkan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet, serta dua penduduk Kuantan, Ismail Abu Bakar dan G Ponusamy pada 8 Nov 2019 selaku pemohon.

Kesemua mereka diwakili peguam Gopal Sri Ram, Dinesh Athinarayanan dan Saha Deva.

Ahmad Hanir pula bertindak bagi pihak responden pertama, Mahathir serta 27 anggota Jemaah Menteri ketika itu yang merupakan responden kedua hingga ke-28, kerajaan Malaysia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Lynas diwakili peguam Cecil Abraham dan Sunil Abraham.

Pada 8 Jan tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada tiga individu terbabit untuk memulakan prosiding permohonan semakan kehakiman itu.

Tiga individu terbabit antara lain memohon deklarasi untuk membatalkan keputusan Mahathir serta 27 anggota Jemaah Menterinya pada 15 Ogos 2019 untuk membenarkan operasi kilang pemprosesan nadir bumi itu dilanjutkan selama enam bulan.

Pemohon pertama iaitu Tan, juga memfailkan bantahannya kepada penaksiran kesan persekitaran dengan menunjukkan berlaku pelanggaran syarat lesen, selain pencemaran air bawah tanah seperti yang ditunjukkan dalam laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.