Saman cuai ditolak; doktor, hospital terima kos RM1 juta

Saman cuai ditolak; doktor, hospital terima kos RM1 juta

Mahkamah Tinggi putuskan jumlah itu wajar memandangkan perbicaraan 33 hari libat pemeriksaan balas terperinci terhadap beberapa pakar perubatan serta hujahan panjang.

kompleks mahkamah kuala lumpur
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman difailkan bagi pihak seorang bayi terhadap dua doktor pakar dan Pusat Perubatan Prince Court, selepas memutuskan tiada kelewatan dalam diagnosis artritis septik.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menganugerahkan kos berjumlah RM1 juta kepada dua doktor dan sebuah hospital swasta selepas menolak saman kecuaian perubatan difailkan bagi seorang bayi pramatang.

Hakim Leong Wai Hong membuat perintah itu selepas mengambil kira tempoh perbicaraan selama 33 hari, termasuk tiga pusingan hujahan oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata dua defendan iaitu seorang pakar neonatologi dan pakar pediatrik dari Pusat Perubatan Prince Court, bersama empat doktor pakar yang dipanggil sebagai saksi, hadir sepanjang perbicaraan.

Menurutnya, mereka menjalani pemeriksaan balas secara terperinci berkaitan isu perubatan yang rumit.

“Bagi perbicaraan selama 33 hari, saya berpendapat kos RM350,000 kepada setiap doktor pakar serta RM300,000 kepada Hospital Prince Court adalah adil dan munasabah,” katanya dalam penghakiman.

Leong mengakui kes itu pengalaman yang malang buat plaintif dan ibu bapanya.

“Mahkamah hanya mampu bersimpati, namun keputusan mesti dibuat berdasarkan keterangan pakar perubatan dan saksi-saksi lain,” katanya.

Plaintif, seorang kanak-kanak lelaki, salah seorang daripada pasangan kembar yang dilahirkan pramatang pada 2 April 2016 di pusat perubatan berkenaan. Ibunya memfailkan saman terhadap tiga defendan itu sebagai wakil litigasi bagi pihak si bayi.

Kembar perempuannya tidak mengalami artritis septik.

Sebagai bayi pramatang, kanak-kanak lelaki itu ditempatkan di dalam inkubator tertutup dari 2 hingga 15 April 2016 bagi mengurangkan risiko jangkitan. Sepanjang dua minggu pertama, keadaannya stabil dari segi klinikal.

Bagaimanapun, pada hari ke-13, bayi itu menjadi mudah meragam, menangis berterusan dan menunjukkan pergerakan yang berkurangan pada sebelah tangan.

Saman itu difailkan pada 1 April 2022 terhadap dua doktor pakar dan hospital itu atas dakwaan bahawa bayi pramatang terbabit mengalami artritis septik, iaitu jangkitan sendi yang menyakitkan.

Dalam penghakimannya, Leong berkata plaintif gagal membuktikan dakwaan berlakunya kelewatan dalam diagnosis artritis septik, malah perkara itu diakui sendiri oleh saksi pakar plaintif, seorang pakar pediatrik, semasa pemeriksaan balas.

Beliau turut menolak keterangan seorang pakar bedah ortopedik kerana ia berada di luar bidang kepakaran saksi berkenaan.

Hakim memutuskan doktor dan hospital itu tidak cuai, memandangkan keterangan pakar serta rekod klinikal menunjukkan rawatan yang diberikan adalah sesuai dan tepat pada masanya.

Mahkamah juga mendapati plaintif gagal membuktikan sebarang pelanggaran standard rawatan atau hubungan sebab akibat.

Leong menambah sebagai bayi pramatang, plaintif sememangnya mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi disebabkan sistem ketahanan badan belum matang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.