
Mohd Zulfadli Nayan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, didakwa menerima suapan wang tunai itu daripada Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin, di sebuah restoran, di sini, pada 10 malam, 2 Okt 2020.
Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan atas jawatannya untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan oleh KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Fazaly Ali itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, anggota maritim berpangkat Laskar Kanan, Adi Haidir Ali mengaku tidak bersalah atas 43 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM35,400, antara Dis 2016 dan Dis 2020.
Adi Haidir, 43, didapati menerima suapan berkenaan menerusi pindahan wang dan mesin pendeposit tunai di lokasi bank berbeza di Kota Tinggi, bagi tujuan melepaskan kapal-kapal milik syarikat Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan penguatkuasaan.
Tertuduh didakwa melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana gagal melaporkan penyogokan, dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) Akta yang sama.
Adi Haidir, yang diwakili Mohd Saleh Togimin, dibenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mei ini.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penolong pegawai laut di Jabatan Laut Malaysia, Alias Jaafar, didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan sebanyak RM5,800 daripada individu sama bagi mempercepatkan pemeriksaan Flag State Control kapal-kapal milik individu terbabit.
Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di dua bank berasingan di Jalan Skudai dan Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, sejak 6 April 2019 hingga 30 Julai tahun lepas.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.