Solat dalam gelap, 2 lagi jemaah surau dipanggil

Solat dalam gelap, 2 lagi jemaah surau dipanggil

Setakat ini, enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan susulan kejadian itu yang mencetuskan Kluster Pauh Lima.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Kampung Pauh Lima, Kota Bharu, sanggup menunaikan solat Tarawih dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa, selepas kerajaan Kelantan membenarkan hanya empat jemaah bersolat di surau sepanjang PKP. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis memanggil dua lagi saksi daripada lebih 10 jemaah yang bersolat dalam keadaan gelap dan tanpa penjarakan fizikal di sebuah surau di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu, Kelantan, sepanjang Ramadan.

Setakat ini, enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan susulan kejadian itu yang mencetuskan Kluster Pauh Lima.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud, berkata dua saksi dalam lingkungan 50 dan 60 tahun itu dipanggil selepas mereka selesai dikuarantin kerana disyaki positif Covid-19.

Katanya, mereka mengaku menjalankan aktiviti keagamaan, termasuk menunaikan solat jemaah sepanjang Ramadan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tanpa penjarakan fizikal dan turut menutup lampu surau.

“Kebanyakan mereka yang sudah dipanggil berumur dalam lingkungan 60-an yang terdiri daripada pesara, manakala yang lain belum tampil memberi keterangan kerana sedang menjalani kuarantin,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, polis mengambil keterangan empat individu, termasuk seorang imam pada 19 Mei lalu, yang turut mengaku mereka mengadakan solat berjemaah dalam keadaan gelap dan rapat.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342), bagi mengambil keterangan jemaah lain yang terdiri daripada penduduk di sekitar Kampung Pauh Lima.

“Kita juga akan menjalankan siasatan kerana melanggar SOP dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit.”

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Kampung Pauh Lima sanggup menunaikan solat Tarawih dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa, selepas kerajaan Kelantan membenarkan hanya empat jemaah bersolat di surau sepanjang PKP.

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Pauh Lima yang bersempadanan Mukim Gunong dekat Bachok dan Mukim Banggu di Kota Bharu sejak 19 Mei lalu hingga 1 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.