PKPD di lokaliti Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah mulai Sabtu

PKPD di lokaliti Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah mulai Sabtu

Ini susulan penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi, kata Ismail Sabri Yaakob.

Pelaksanaan PKPD bertujuan menyekat pergerakan penduduk serta mengekang penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dikenakan bagi masing-masing satu mukim di Perak dan Terengganu, tiga lokaliti di Pahang, dan dua di Sabah mulai Sabtu.

Di Perak, PKPD akan dilaksanakan di Mukim Sitiawan, Manjung akibat peningkatan kes secara mendadak dalam kawasan berkepadatan tinggi serta jangkitan dalam komuniti yang melibatkan Pekan Sitiawan, Pekan Ayer Tawar, Pekan Kg Koh, Pekan Pasir Panjang dan Bandar Seri Manjung.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Mukim Sitiawan telah mencatatkan 135 kes semasa dalam tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei 2021 sekali gus menyumbang sebanyak 58.7% kes di daerah Manjung,” kata Ismail.

Mukim Kuala Berang di Hulu Terengganu pula mencatatkan peningkatan kes amat ketara dalam masa yang singkat, dengan 37 kes positif dikesan daripada 213 ujian saringan yang dijalankan.

Sementara itu, tiga lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD adalah Bandar Triang, Pekan Kemayan, dan Gugusan Mendi di Bera.

Ismail melaporkan sebanyak 76 kes positif dikesan KKM daripada 1,258 ujian saringan yang dilakukan.

Di Sabah pula, kata Ismail, pelaksanaan PKPD di Kampung Baru Durok, Keningau, dan Kampung Mook, Kinarut, Papar, bertujuan menyekat pergerakan penduduk serta mengekang penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan.

Sehingga kini, sebanyak 28 kes positif dikesan hasil 158 ujian saringan yang dijalankan KKM di Kampung Baru Durok, manakala di Kampung Mook, sembilan kes positif direkodkan daripada 35 ujian saringan.

Dalam kenyataan sama, Ismail turut melaporkan seramai 724 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 712 individu dikompaun manakala 12 lagi direman,” katanya.

Antara kesalahan yang terbabit adalah tiada penjarakan fizikal (227), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka (130), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (68), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (63), dan lain-lain (88).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.