
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menerima sembilan laporan polis berkaitan perbuatan khianat dipercayai didalangi kumpulan ah long itu.
“Sebanyak lima kes simbah cat merah serta empat kes baling bom petrol di premis kediaman dan rumah kedai yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan ah long ini.
“Bertindak diatas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan dua serbuan dan berjaya membuat tangkapan serta rampasan,” katanya dipetik Harian Metro.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, serbuan bermula Khamis lalu di sebuah rumah di Bakri, Muar dan pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes dadah dan ketika tangkapan, beberapa barangan dirampas seperti tin cat berwarna merah, botol pencair (thinner) dan pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.
“Seterusnya, semalam dengan kerjasama IPD Muar, polis melakukan serbuan di Bakri, Muar dan menahan pula seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai suspek utama kes berkenaan.
“Semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah serta tiga rekod berkaitan dadah dan ketika tangkapan, sebuah kereta Toyota Vios yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah turut dirampas,” katanya.
Katanya, hasil tangkapan dua suspek berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes berkaitan kegiatan kumpulan ah long yang berlaku di sekitar daerah ini dan Kluang.
“Suspek pertama direman selama tiga hari sehingga 2 Jun depan, manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga 5 Jun untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga 14 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.