Adakah cadangan kami diterima, tanya bekas ahli RCI

Adakah cadangan kami diterima, tanya bekas ahli RCI

RCI ke atas operasi polis menyerahkan 125 cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi pada 2005.

Sevan Doraisamy daripada Suaram berkata, lapan kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan untuk lima bulan pertama 2021, sama dengan jumlah yang dilaporkan sepanjang 2020 dan jumlahnya mungkin lebih tinggi.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2005 ke atas operasi polis menyerahkan 125 idea untuk menambah baik pasukan itu, tetapi ahli suruhanjaya itu tidak tahu sama ada cadangan mereka diterima dan dilaksanakan.

Semua 125 idea itu dirangka dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi pada 2005.

Dalam sidang media hari ini anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengenai kematian dalam tahanan, Kuthubul Zaman Bukhari, yang pernah menganggotai RCI itu, berkata tiada cara untuk bekas pesuruhjaya mengetahui status cadangan cadangan, melainkan penambahbaikan yang mereka nampak secara fizikal, seperti tempat tinggal polis.

Cadangan paling penting RCI itu ialah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Pada 2015, Majlis Peguam menganjurkan ‘roadshow’ untuk mendesak kerajaan menubuhkan IPCMC. Ketika itu, Denison (Jayasooria) dan saya merayu kerajaan mengadakan pertemuan bersama bekas pesuruhjaya supaya kami boleh diberikan taklimat mengenai apa yang dilaksanakan dan apa yang tidak.

“Permintaan kami untuk pertemuan tidak dijawab. Sejujurnya, saya tidak tahu berapa banyak yang dilaksanakan, tetapi jelasnya IPCMC belum (ditubuhkan).”

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, berdasarkan pemantauan media mereka, lapan kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan tahun ini sama dengan jumlah yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Sukar untuk menjelaskan kenapa, tetapi ia pastinya membimbangkan. Kami hanya menganggap ia gabungan rasa kebal daripada mendapat hukuman, sistem kesihatan yang lemah di pusat tahanan dan faktor lain.”

Katanya, Kementerian Dalam Negeri tidak proaktif dalam menangani isu itu kerana tidak memberikan perkembangan terkini siasatan mereka dan maklumat tepat berhubung jumlah sebenar kes kematian dalam tahanan.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang senada berkata, untuk setiap kes yang dilaporkan, kemungkinan ada lebih banyak lagi kes yang orang ramai tidak ketahui, khasnya jika ahli keluarga si mati tidak melaporkan perkara itu atau meminta bantuan.

“Ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memberitahu jumlahnya. Jumlah yang dipetik dalam media dan Suaram hari ini mungkin angka yang sangat konservatif, jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi. Setiap kematian sangat serius dan menunjukkan kegagalan dalam sistem.

“Kami hanya melihat kes di lokap yang disuarakan ahli keluarga. Ada ramai orang yang mati di pusat tahanan imigresen dan penjara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.