
Beliau berkata, daripada rundingan itu Sinovac akan menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir Julai ini.
“Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku tahun ketiga, dan badan regulatori farmasi negara juga sedang giat membuat penilaian ke atas vaksin satu dos daripada CanSino,” katanya dalam satu video dimuat naik di Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
Khairy berkata, kapasiti vaksinasi harian yang ketika ini mencecah 100,000 suntikan juga akan ditingkatkan kepada 300,000 menjelang Julai nanti.
“Kita juga sedang meningkatkan kapasiti vaksinasi buat masa ini kadar harian mencecah 100,000 suntikan dan sedang merancang meningkatkan jumlah ini kepada dua kali ganda menjelang Julai,” katanya.
Kata beliau, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka termasuk pembukaan PPV Mega yang boleh melaksanakan suntikan pada kadar 5,000 hingga 10,000 suntikan sehari.
Tambahnya, menjelang akhir Jun, 1,000 PPV klinik swasta akan dibuka bagi membolehkan akses vaksinasi lebih mudah kepada orang ramai termasuk di hospital swasta dan PPV pandu lalu.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, hanya 5% populasi di Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin menerusi PICK sejak 24 Februari lalu dan kadar vaksinasi itu sepatutnya lebih tinggi, namun ia tidak selancar yang diharapkan kerana terlalu bergantung kepada proses penyediaan serta pengedaran daripada pengeluar.
“Dengan jangkaan kedatangan lebih banyak vaksin dalam beberapa bulan ke depan, kami berharap dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kami dari 100,000 kepada antara 200,000 hingga 300,000 sehari, sehinggalah Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 sebelum menjelang akhir tahun ini,” kata beliau.