
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebahagian besar daripada kes Covid-19 yang dikesan meningkat mendadak sehingga melepasi 9,000 kes sehari sejak minggu epidemiologi (ME) ke-13 pada 1 April lalu adalah kes sporadik.
Katanya, 52% daripada 8,968 kes direkodkan pada 3 April adalah kes sporadik dan jumlahnya meningkat pada ME ke-19 yang mencatatkan 77.7% daripada 29,386 kes positif.
“Negara kemudian merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes di mana 85.1% adalah kes sporadik.
“Tren kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun 2021), dengan jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes atau 84.3%,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berlaku juga peningkatan kematian akibat Covid-19 membabitkan kes sporadik dalam tempoh sama di mana pada ME-13, 26 daripada 35 kes kematian adalah kes sporadik.
“Pada ME ke-19 sebanyak 209 kematian dengan 187 kes sporadik. Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian Covid-19 (559 kes sporadik) yang lebih tinggi berbanding kematian daripada kluster.
“Salah satu faktor menyumbang kepada situasi tersebut adalah kemunculan varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian lebih tinggi selain penularan Covid-19 secara lebih meluas dalam komuniti berbanding ME yang sebelumnya,” katanya.
Sehubungan itu, Noor Hisham menasihatkan orang ramai sentiasa mengawasi persekitaran dan memahami sesiapa sahaja boleh dijangkiti wabak itu tidak kira di mana mereka berada seperti berlaku ketika ini.
“KKM ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP. Lindungilah diri, keluarga, dan komuniti dalam memerangi pandemik ini,” katanya.