
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata Pemuda PN mengambil cakna tentang isu peningkatan harga minyak masak yang dilihat membebankan banyak sektor pengguna.
“Pihak kami telah mendapat banyak maklum balas daripada pelbagai peringkat masyarakat dan telah pun turun padang untuk melihat serta menilai situasi terbabit.
“Hasil tinjauan kami, harga minyak masak memang berlaku peningkatan. Minggu lalu, harga minyak masak 5kg adalah sekitar RM25 hingga RM28. Minggu ini, harganya mencecah RM32 hingga RM36,” katanya satu kenyataan.
Semalam, dilaporkan kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg 1kg.
Menurut Menterinya Alexander Nanta Linggi, kerajaan hanya menetapkan harga bagi minyak masak bersubsidi iaitu RM2.50 1kg.
Khairil juga berkata, Pemuda PN telah mengadakan perbincangan dalaman dan telah membuat sembilan gesaan antaranya Memohon KPDNHEP mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menaikkan harga.
Katanya, pemuda PN juga memohon kerajaan menawarkan formula baru untuk subsidi minyak masak 5kg dan ke atas.
“Memperkenalkan subsidi bertempoh selama tiga ke enam bulan untuk minyak masak 5kg. Menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi 1kg dari 60,000 tan sebulan sekarang,” katanya.
Khairil menggesa KPDNHEP menjalankan operasi pemeriksaan anti pencatuan secara besar-besaran ke atas premis yang menyembunyikan minyak masak untuk menaikkan harga.
Beliau turut memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan operasi mencegah penyeludupan minyak masak yang menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan tempatan.
“Memohon kerajaan menstabilkan bekalan dalam negara dengan menyeimbangkan peratusan eksport dan keperluan bekalan minyak masak dalam negara.
“Menggesa solusi jangka panjang seperti pengurangan kos pembotolan antara yang menyumbang harga tinggi kepada bekalan minyak 5kg ke atas, alternatif kepada kaedah pembotolan minyak untuk kawal harga perlu difikirkan,” katanya.
Khairil berkata pihak pemuda PN akan membawa cadangan-cadangan ini kepada kementerian-kementerian terbabit dalam tempoh segera supaya isu kebajikan rakyat sentiasa menjadi teras utama fokus pentadbiran negara.
Katanya, pemuda PN juga ingin mengajak pengguna menggunakan kuasa beli pengguna untuk memberi tekanan kepada pengeluar supaya dapat menurunkan harga minyak masak dengan menurunkan tekanan permintaan bekalan untuk satu tempoh tertentu.
“Pemuda PN dan komponen akan menggerakkan ahli untuk menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP, Kementerian Dalam Negeri untuk melapor semua aktiviti yang menjejaskan kepentingan pengguna dalam negara melalui saluran disediakan.
“Pemuda PN akan terus menjalankan fungsi dan peranan semak dan imbang untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus perjuangan utama Perikatan Nasional,” katanya.