Sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Sabah tumpas

Sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Sabah tumpas

Operasi khas 'Op Serkap' selama dua hari itu dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Kampung Air, Kampung Likas dan Inanam bermula Sabtu lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin (tengah) menunjukkan beberapa dokumen palsu yang dirampas dalam Op Serkap di beberapa lokasi pada hujung minggu lalu.
KOTA KINABALU:
Satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen pengenalan diri berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Sabah dengan tertangkapnya sembilan warga asing dalam operasi dijalankan hujung minggu lalu.

Operasi khas ‘Op Serkap’ selama dua hari itu dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Kampung Air, Kampung Likas dan Inanam bermula Sabtu lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin, berkata semua yang ditahan membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 76 tahun.

Katanya, semua suspek warga Filipina itu ditahan bersama 90 keping surat pengesahan dokumen sementara, surat pengesahan unit penempatan dan resit pengenalan sementara Jabatan Ketua Menteri Sabah yang dipalsukan.

“Selain itu, kita turut merampas 22 keping Mykad dan salinan sijil lahir serta 13 keping permit masuk IMM 5 dan pas lawatan IMM13 Jabatan Imigresen yang dipalsukan.

“Pasukan imigresen turut berjaya merampas 140 keping gambar berukuran pasport yang dipercayai untuk tujuan pengeluaran dokumen palsu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Muhamad Sade berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan semua suspek sudah ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan turut mendapati semua dokumen berkenaan dijual pada harga sekitar RM100 hingga RM500.

“Semua dokumen berkenaan dijual kepada warga Filipina dan sehingga kini dipercayai 200 hingga 300 dokumen sudah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 56(1)(j), Seksyen 56(1)(i) dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama.

“Ia membabitkan kesalahan menggunakan dokumen milik orang lain, menggunakan dokumen palsu dan bersubahat serta membabitkan diri untuk melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pas yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Sade berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti pemalsuan dokumen kerajaan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan segera.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan itu bertujuan menggalakkan pendatang asing tanpa izin tinggal di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.