
Seorang aktivis berkata, maklumat salah itu perlu dihentikan segera.
Tijah Yok Chopil, daripada suku Semai, menggesa kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) meningkatkan pendidikan serta libat urus di kampung bagi menangani penyebaran maklumat salah mengenai vaksin.
Katanya, promosi di media sosial tidak mencukupi untuk mendidik Orang Asli mengenai kepentingan divaksin.
“Pemimpin perlu datang ke kampung dan menemui masyarakat untuk menjelaskan kepentingan program vaksinasi serta akibatnya jika kita tidak divaksin, termasuk memberitahu mereka langkah berikutnya yang mereka perlu mereka ambil,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa organisasi yang mempunyai akses ke kampung Orang Asli, seperti Jakoa, Jabatan Penerangan dan pejabat kesihatan daerah segera untuk mengambil tindakan segera.
“Mereka yang bertanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat juga perlu menyebut bayi selama ini diberikan vaksin di klinik untuk melindungi mereka daripada semua jenis penyakit.”
Katanya, ramai yang terpengaruh dengan maklumat salah kesan sampingan vaksin, bimbang akan jatuh sakit dan bahkan kematian.
Mengulas maklumat salah itu, Mimi Anai, aktivis Temuan dari Kampung Orang Asli Sungai Raya di Seremban, berkata ramai yang takut selepas melihat laporan individu yang didakwa meninggal dunia akibat vaksin.
“Selain kematian, terdapat maklumat salah mengenai individu yang lumpuh sepenuhnya. Berita palsu paling teruk saya pernah dengar ialah vaksinasi boleh mengubah DNA Orang Asli. ”
Beliau berkata, mitos sedemikian akan tersebar dalam kumpulan WhatsApp Orang Asli setiap hari.
“Kelmarin, saya nampak berita seseorang kononnya koma selepas mendapat vaksin.”
Katanya, ramai yang mudah terpengaruh kerana yang menyebarkan berita itu bukan hanya orang daripada komuniti mereka, tetapi juga saudara mereka dari daerah dan negeri lain.
Mimi berkata, keraguan divaksin di kampungnya sangat teruk kerana bukan sahaja orang tua, malah generasi muda turut menolak vaksin dan bagi yang sudah mendaftar, mereka mula ragu-ragu disebabkan berita yang tersebar itu.
Katanya, beliau ialah satu-satunya orang dalam keluarganya yang terbuka kepada vaksinasi dan masih menunggu janji temu.
“Bagi saya, saya menerimanya. Kita akan nampak kesan sampingan kemudian. Saya tidak kisah menjadi orang pertama dalam komuniti saya untuk divaksin.”
Sementara itu, seorang ketua kampung Orang Asli dari Gerik, Hulu Perak, berkata semua penduduk dalam komunitinya, termasuk dirinya, menentang vaksin.
Rahman Hassan dari Kampung Orang Asli Cenawing, berkata mereka tidak yakin dengan keselamatan dan keberkesanan vaksin, dengan ramai yang was-was mengenai perbezaan antara vaksin sedia ada.
“Kami dengar melalui kumpulan WhatsApp yang pendidik di kampung luar bandar hanya akan diberikan satu dos vaksin. Mereka berkata kami mungkin tidak perlu menghadiri janji temu dos kedua. Itu menimbulkan keraguan bagi kami – mengapa vaksin berbeza?”
Beliau berkata, komunitinya lebih suka bergantung kepada ramuan herba sendiri untuk meningkatkan sistem imun dan Orang Asli terasing serta tidak merasakan ada keperluan untuk divaksin.
Namun, katanya, Orang Asli tahu mengenai bahaya Covid-19 dan mematuhi SOP secara ketat.
Rahman berkata, komunitinya terbuka kepada penjelasan yang jelas dan berkesan mengenai vaksin.
“Saya rasa, jika mereka jelaskan kepada masyarakat menggunakan pendekatan lembut, kami akan terima penjelasan mereka.
“Bagi Orang Asli, anda tidak boleh hanya menggunakan penjelasan lisan, anda perlu mempromosikannya dengan cara berbeza.”
Seramai 63,734 Orang Asli tidak mendaftar untuk vaksinasi, berdasarkan maklum balas daripada borang pendaftaran yang diberikan Program Imunisasi Covid-19.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 79,041 borang pendaftaran diterima setakat ini, hanya 15,307 Orang Asli bersetuju divaksin.