Polis, tahanan cedera van terbabit kemalangan

Polis, tahanan cedera van terbabit kemalangan

Kenderaan terbabas, masuki laluan bertentangan ketika dalam perjalanan ke mahkamah untuk proses reman tahanan.

Keadaan van yang remuk selepas kemalangan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis dan tiga tahanan polis cedera selepas van yang mereka naiki terbabit kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Tali Air 10, Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Anggota berusia 29 tahun itu cedera di kaki manakala tiga tahanan terbabit masing-masing patah kaki, cedera kepala dan kaki dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, lapor Berita Harian.

Pemandu van yang juga anggota polis berusia 28 tahun masih menunggu hasil keputusan x-ray.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Agus Salim Mohd Alias berkata, kenderaan pasukan itu dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

“Van itu dinaiki dua anggota polis termasuk pemandu dan tiga tahanan yang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam ke Mahkamah Kuala Selangor untuk proses reman.

“Apabila sampai di tempat kejadian, van berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan dan melanggar penghadang konkrit serta berpusing lalu memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Agus Salim berkata, pemandu van dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam manakala penumpang hadapan dan tiga tahanan dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.