
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata pihaknya dalam proses menghubungi mereka yang terbabit bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.
“Kita sudah pastikan jumlah keseluruhan dan akan hubungi mereka seorang demi seorang.
“Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota RELA dilakukan secara manual sebelum dimasukkan dalam sistem kemasukan dan sebab itu kita minta mereka (RELA) supaya menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya.
“Setakat ini ada dua atau tiga daripada mereka yang dihubungi memaklumkan yang mungkin mereka didatangi seseorang untuk menandatangani sesuatu tetapi kita tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk jadi anggota RELA atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan perintah kawalan pergerakan (PKP) di sebuah pusat beli-belah di Puchong, hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menyertai RELA supaya mengikut saluran sah dan tidak sewenang-wenangnya menurunkan tandatangan kepada pihak yang meragukan.
Pada 15 Jun lalu, KDN mengarahkan RELA menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan data, berikutan isu tular orang ramai didaftarkan sebagai anggota pasukan itu, tanpa pengetahuan mereka.
RELA dalam kenyataannya sebelum ini menafikan bahawa mereka secara automatik mendaftarkan rakyat tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
RELA juga berkata, akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) berkuat kuasa.